GENEVA, 18 Ogos - Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Ahad berkata, keamanan mesti dicapai melalui kekuatan, dengan jaminan keselamatan yang kukuh diperlukan untuk melindungi Ukraine dan kepentingan keselamatan Eropah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau berkata Ukraine mesti berupaya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya, sambil menegaskan tidak seharusnya ada had ke atas angkatan tenteranya, termasuk kerjasama dengan atau bantuan daripada negara ketiga.
Von der Leyen menyambut baik kesediaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyumbang kepada "jaminan keselamatan seumpama Perkara 5" untuk Ukraine, sambil menyatakan bahawa EU bersedia memainkan peranannya.
Beliau turut mengesahkan blok itu sedang merangka pakej sekatan ke-19 terhadap Rusia yang dijangka pada awal September.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, yang berucap di samping von der Leyen, berkata keselamatan Kyiv mestilah bersifat mengikat dan praktikal.
“Kami memerlukan keselamatan yang berfungsi secara praktikal, seperti Perkara Lima NATO, dan kami menganggap penyertaan EU sebagai sebahagian daripada jaminan keselamatan,” katanya.
Beliau menyeru agar perpaduan dalam kalangan negara sekutu diteruskan, sambil menegaskan bahawa Eropah mesti kekal bersatu padu seperti pada 2022 ketika perang bermula.
Zelensky berkata Rusia tidak menunjukkan sebarang tanda bersetuju untuk mengadakan rundingan tiga pihak dengan Kyiv dan Washington, dan memberi amaran sekatan baharu akan menyusul jika Moscow enggan terlibat.
Beliau merayu sokongan EU yang diperluas, termasuk dron dan bantuan untuk kanak-kanak Ukraine.
Pemimpin Ukraine itu juga berkata tidak seharusnya wujud perpecahan antara Ukraine dan Moldova, dan memberi amaran bahawa langkah sedemikian akan menandakan Eropah tidak bersatu dalam soal jaminan keselamatan.-BERNAMA/ANADOLU