fb fb fb fb fb

JAKIM serah peruntukan RM56.4 juta kepada kerajaan Selangor

(Foto Selangor Royal Office)

PUTRAJAYA, 2 Mei- Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan cek cura peruntukan kewangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2023 untuk negeri Selangor.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, peruntukan itu yang berjumlah RM56.4 juta adalah bagi imbuhan tahunan dan elaun kepada 11,558 penerima melibatkan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), imam, bilal, siak dan guru takmir seluruh Selangor.

"Cek cura telah dipersembahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang Selangor Darul Ehsan.
 
"Agihan tersebut merangkumi pembayaran imbuhan bulanan sebanyak RM850 kepada 752 imam, elaun RM900 kepada 242 guru takmir dan RM1,261 kepada 2,800 guru KAFA," menurut kenyataan itu.
 
Selain itu, ia meliputi caruman PERKESO sebanyak RM232 setahun kepada lebih 2,000 imam, bilal, siak dan guru takmir serta termasuk bayaran khas sekali beri sebanyak RM600.
 
Peruntukan kewangan JAKIM kepada negeri Selangor itu adalah sebahagian daripada jumlah RM1.5 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam tahun 2023 yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

(Foto Selangor Royal Office)

Media Baharu