fb fb fb fb fb

Ketua Unit Saluran Berita RTM maut kemalangan

KUALA LIPIS, 2 Mei- Ketua Unit Saluran Berita RTM, Mohd Zubairy Abdullah, 46 tahun, maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Benta-Lipis, petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Difahamkan kemalangan berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu mangsa dari arah Kelantan menuju ibu negara terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda.

Berdasarkan maklumat awal, terdapat lima penumpang dalam MPV tersebut dan seorang daripadanya cedera parah.

Kelima-lima mereka dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan.

Menurut Azli, pemandu lori dengan muatan kelapa turut maut dalam kejadian, manakala kelindan lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga tidak mengalami kecederaan.


(Ketua Unit Saluran Berita RTM, Allahyarham Mohd Zubairy Abdullah, 46 tahun)

Media Baharu