fb fb fb fb fb

Itali teruskan pembiayaan untuk agensi PBB bagi pelarian Palestin

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani / Foto Reuters

ROME, 25 Mei - Menteri Luar Itali, Antonio Tajani pada Sabtu mengumumkan bahawa Itali akan meneruskan penyaluran pembiayaan dana untuk agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin ketika beliau bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa.

"Itali telah memutuskan untuk meneruskan pembiayaan projek khusus yang bertujuan untuk bantuan kepada pelarian Palestin. Ini akan dilakukan selepas kawalan ketat yang memberi jaminan bahawa tidak ada satu sen pun berisiko untuk menyokong keganasan," katanya.

Tajani berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri "bahawa kerajaan telah mengatur pembiayaan baharu untuk penduduk Palestin, dengan jumlah 35 juta euro."

"Daripada jumlah ini, lima juta akan diperuntukan kepada UNRWA," katanya dalam satu kenyataan, manakala baki 30 juta euro akan diperuntukan kepada inisiatif "Makanan untuk Gaza" Itali dengan kerjasama agensi bantuan PBB.

UNRWA, yang menyelaraskan hampir semua bantuan kepada Gaza, mengalami krisis sejak Januari, apabila Israel menuduh kira-kira 12 daripada 13,000 pekerjanya di Gaza terlibat dalam serangan pada Oktober ke atas Israel oleh Hamas.

Disebabkan itu, banyak negara, termasuk penderma utama, Amerika Syarikat (AS), secara tiba-tiba menggantung pembiayaan kepada agensi itu, sekali gus mengancam segala usaha untuk menyampaikan bantuan di Gaza, walaupun beberapa negara telah menyambung semula pembiayaan kepada agensi PBB itu.

Kajian bebas terhadap UNRWA, yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna mendapati beberapa "isu berkaitan neutraliti" namun Israel masih belum memberikan bukti terhadap dakwaan tersebut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN