fb fb fb fb fb

Isu inflasi dan cukai jadi fokus dalam pilihan raya Norway

Ketua Parti Buruh, Jonas Gahr Store, mengundi di sebuah Sekolah Uranienborg, di sini / Foto REUTERS

OSLO, 8 September - Rakyat Norway mengundi pada Isnin dalam pilihan raya yang sengit antara haluan kiri yang diterajui pemerintah Parti Buruh dan haluan kanan yang diketuai oleh Parti Progresif dan Konservatif.

Parti berhaluan kiri yang terdiri daripada Parti Buruh dan empat parti kecil lain dijangka memenangi 88 kerusi di parlimen, tiga kerusi lebih daripada jumlah minimum yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti.

Namun, kedudukan itu lebih rendah berbanding 100 kerusi yang mereka capai pada 2021, menurut tinjauan pendapat terkini.

Sekurang-kurangnya sembilan parti politik dijangka memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.

Sementara itu, hanya pemimpin daripada Parti Buruh, Progresif, dan Konservatif bertanding untuk jawatan perdana menteri.

Inflasi, cukai, dan kualiti perkhidmatan awam merupakan isu utama dalam kempen kali ini.

Keputusan pilihan raya kali ini dijangka memberi kesan kepada industri minyak dan gas serta bekalan tenaga ke Eropah, selain pengurusan dana kekayaan negara berkenaan yang bernilai AS$2 trilion.

Bekas Perdana Menteri Erna Solberg dari Parti Konservatif berharap untuk kembali menerajui kuasa dengan janji pengurangan cukai secara meluas, penambahan jumlah polis di jalan raya, dan penjimatan dalam sektor awam. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD