SEMENANJUNG GAZA, 17 Julai- Pihak berkuasa di Gaza yang ditadbir Hamas, mendakwa puluhan rakyat Palestin maut pada Selasa dalam tiga serangan berasingan yang dilakukan Israel.
Israel dikatakan tetap meneruskan operasi meski pun Amerika Syarikat (AS) mengulangi kritikannya terhadap angka kematian tinggi yang disebabkan tentera itu.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata sekurang-kurangnya tiga serangan udara telah menyebabkan lebih 44 orang maut dan mencederakan puluhan yang lain dalam tempoh sejam, di merata wilayah Palestin yang dikepung itu.
Israel pula mendakwa hanya melakukan dua serangan.
Kementerian Kesihatan menyatakan serangan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di selatan Gaza, Al-Mawasi, membunuh 17 orang.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula menyatakan satu serangan berasingan, yang dilakukan sekitar waktu yang sama, dilancarkan di Sekolah Al-Razi kendalian PBB, di kem pelarian Nuseirat di kawasan tengah Gaza mengorbankan lima orang.
Serangan ketiga, menurut agensi pertahanan awam, menimpa sekumpulan orang awam di satu bulatan jalan di utara Gaza.
Agensi itu bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan rakyat Palestin yang terkorban.
Beberapa jam sebelumnya, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, memberitahu dua pegawai kanan Israel bahawa Washington "sangat prihatin" mengenai serangan-serangan maut yang dilancarkan tentera itu, kata jurucakapnya.
"Kami sudah melihat bilangan orang awam yang terjejas menyusut berbanding ketika konflik sedang genting, tetapi jumlahnya kekal tinggi dan tidak boleh diterima," kata jurucakap Matthew Miller selepas Blinken bertemu Menteri Ehwal Strategik, Ron Dermer dan Penasihat Keselamatan Nasional, Tzachi Hanegbi.
Washington sudah pun menggesa agar Israel dan Hamas melaksanakan gencatan senjata.
Namun ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, pada Ahad berkata bahawa kumpulan itu akan menarik diri daripada rundingan berkenaan untuk membantah "pembunuhan beramai-ramai" yang dilakukan Israel, termasuk satu serangan dahsyat pada Ahad.
Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 92 orang maut dalam serangan itu.
Hamas bersedia untuk sekali lagi berbincang jika Israel "menunjukkan ia serius untuk mencapai satu perjanjian melaksanakan gencatan senjata dan pertukaran tahanan," katanya.
Pada Selasa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan memperhebatkan tekanan ke atas Hamas.
"Inilah masanya untuk meningkatkan tekanan, membawa pulang semua tebusan sama ada yang hidup mahupun mati serta untuk mencapai semua objektif perang," katanya.- AFP