fb fb fb fb fb

Israel tembak 104 rakyat Palestin tunggu bantuan berhampiran bandar Gaza

FOTO AFP

KAHERAH, 1 Mac- Pihak Berkuasa Kesihatan di Gaza berkata tentera Israel menembak mati lebih 104 rakyat Palestin ketika mereka menunggu bantuan berhampiran bandar Gaza serta mencederakan 280 yang lain.

Jurucakap tentera Israel bagaimanapun berkata pihaknya tidak tahu mengenai bedilan di lokasi yang dinyatakan.

Tentera juga berkata puluhan orang cedera akibat ditolak dan dipijak apabila trak bantuan tiba di utara Gaza.

Sumber Israel berkata, tentera melepaskan tembakan ke arah 'beberapa orang' dalam kumpulan yang menimbulkan ancaman kepada mereka.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata beliau mengutuk pembunuhan jelik beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel pagi tadi terhadap orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan Nabulsi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra, berkata kejadian itu berlaku di bulatan Al-Nabusi di barat Bandar Gaza di bahagian utara kawasan berkenaan.

Menurut Qidra, pasukan perubatan tidak dapat menampung jumlah dan kecederaan teruk daripada berpuluh-puluh orang yang cedera yang tiba di Hospital Al-Shifa.

Ketua Hospital Kamal Adwan di Bandaraya Gaza, Hussam Abu Safieyah, berkata pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera akibat insiden di barat bandar itu.

"Kami tidak tahu berapa ramai pesakit tiba di hospital lain," katanya kepada Reuters melalui telefon.

Dalam pada itu, Hamas dalam satu kenyataan memberi amaran, insiden itu boleh membawa kepada kegagalan rundingan yang bertujuan mencapai kesepakatan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

"Rundingan yang dijalankan oleh kepimpinan gerakan itu bukan proses terbuka dengan mengorbankan darah rakyat kita," katanya yang merujuk kepada kematian hari ini dan mengatakan Israel akan bertanggungjawab atas sebarang kegagalan rundingan itu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,200 orang, serta 253 lain dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.di Israel.

Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 30,035 orang disahkan terbunuh di enklaf itu dengan beribu-ribu yang lain dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan trak membawa banyak mayat.

Reuters mengesahkan lokasi satu video bulatan Al-Nabulsi yang menunjukkan beberapa lelaki kelihatan tidak bergerak, serta beberapa lain cedera.

Satu lagi video yang tidak dapat disahkan oleh Reuters, menunjukkan ramai berlumuran darah sedang diusung dalam trak, dengan pasukan perubatan merawat orang di atas lantai hospital dengan kelihatan banyak mayat dibaluti kain kafan.

"Kami tidak mahu bantuan seperti ini. Kami tidak mahu bantuan bersama dengan bersama peluru.

"Terdapat ramai yang mati syahid," kata seorang lelaki dalam sebuah video.

Merujuk kepada kejadian itu, seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya tiada maklumat mengenai serangan Israel di kawasan itu."

Terdahulu PBB dan agensi bantuan lain telah melaporkan bahawa Israel telah menyekat percubaan mereka untuk mendapatkan bantuan namun, Israel menafikan meletakkan sebarang sekatan ke atas bantuan kemanusiaan.

Ketua agensi UNRWA, Philippe Lazzarini memberitahu pemberita di Baitulmaqdis bahawa bekalan bantuan ke Gaza secara keseluruhan telah berkurangan separuh sejak Januari.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI