fb fb fb fb fb

Israel tahan 25 penduduk Palestin di Tebing Barat

Tentera Israel menahan penduduk Palestin di Tebing Barat/WAFA

RAMALLAH, 11 November- Sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak ditahan oleh tentera Israel dalam serbuan di Tebing Barat.

Memetik laporan agensi berita Palestin WAFA, Suruhanjaya Tahanan dan Persatuan Banduan melaporkan kebanyakan penduduk ditahan di bandar Idna, wilayah Hebron. Manakala, selebihnya ditahan di wilayah Ramallah, Tulkarm, Bethlehem dan Jerusalem.

Mangsa tahanan juga disiksa, dipukul dengan teruk, diugut dan sebagai tebusan, selain rumah mereka juga dimusnahkan.

Setakat ini, seramai 2425 rakyat Palestin ditahan oleh Israel, sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober lalu. Kebanyakan mangsa ditahan di rumah dan juga di pusat pemeriksaan yang memaksa mereka menyerahkan diri, selepas menahan ahli keluarga mereka dijadikan sebagai tebusan.

Sementara itu, tentera Israel turut bertindak kejam apabila menghalang sebuah keluarga Palestin menuai hasil tanaman zaitun di kampung Madama, selatan bandar Nablus Tebing Barat utara.

Ketua Kampung Madama, Wajih Qat, memberitahu bahawa tentera zionis memaksa keluarga tersebut yang sedang memetik  buah zaitun di tanahnya untuk menghentikan kerja dan meninggalkan kawasan itu.

Tentera Israel turut merampas peralatan yang digunakan keluarga itu, semasa menuai hasil tanaman tersebut.

ROSLINA BINTI DIN