DOHA, 19 Ogos- Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sengaja menghalang perjanjian untuk gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza.
Hamas dalam kenyataan berkata selepas pusingan rundingan terbaru antara Hamas dan Israel di Qatar, Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya kerana cuba menggagalkan usaha pengantara, menghalang perjanjian dan enggan bertanggungjawab penuh ke atas nyawa tahanan di Gaza.
Netanyahu juga melengahkan usaha tersebut dengan menolak gencatan senjata kekal dan pengunduran menyeluruh dari Gaza.
Dia juga mendesak untuk terus menduduki persimpangan Netzarim, lintasan Rafah dan koridor Philadelphi.
"Netanyahu juga menetapkan syarat baharu bagi urusan pertukaran tahanan dan menarik diri daripada beberapa perkara lain yang menghalang penyelesaian perjanjian pertukaran itu," kata Hamas.
Sementara itu, Hamas mengulangi sokongannya terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Presiden AS Joe Biden pada Mei lalu yang menurutnya adalah rancangan Israel.
Cadangan itu melibatkan perjanjian tiga fasa, bermula dengan gencatan senjata selama enam minggu di samping pembebasan tahanan dan pengunduran Israel dari Gaza.
Pegawai Hamas mendakwa Netanyahu berulang kali menghalang perjanjian.
Sementara itu, menurut data Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, serangan Israel ke atas Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 40,099 penduduk Palestin.-AFP