BAITULMAQDIS, 20 Oktober - Israel menyasarkan untuk membunuh kesemua anggota pejuang Hamas termasuk dua pemimpin tertinggi kumpulan itu yang disyaki mendalangi serangan pada 7 Oktober lalu.
Pakar strtegi ketenteraan Hamas, Mohammed Deif dan pemimpin politik, Yahya Sinwar yang menghabiskan masa di penjara Israel dan Palestin menjadi sasaran tentera Israel.
Pihak tentera Israel berkata pemburuan terhadap kedua-dua pemimpin pejuang Hamas itu di semenanjung Gaza telah diperhebatkan.
Dalam satu kenyataan, Israel mendakwa Sinwar merupakan 'dalang' kepada pembunuh 1,400 orang awam dan penculikan seramai 200 rakyat Israel dalam serangan terburuk yang dialami oleh negara haram itu sejak penubuhannya 75 tahun lalu.
Israel telah bertindak balas dengan pengeboman di Gaza yang telah membunuh lebih daripada 3,700 orang, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.
"Hamas mempunyai dua pilihan, Dibunuh atau menyerah diri tanpa syarat. Tiada pilihan ketiga,” kata Menteri Pertahanan Yoava Gallant.
Sumber keselamatan di luar Gaza berkata Deif dan Sinwar kini bersembunyi dalam rangkaian terowong yang dibina bagi menentang kempen pengeboman yang dilancarkan Israel selepas serangan ke atas komuniti dan pangkalan tentera berhampiran sempadan yang menggegarkan Israel.
Sinwar adalah ahli pengasas Hamas pada tahun 1987 semasa intifada atau pemberontakan Palestin yang pertama dan dinaikkan pangkat sebagai penyokong perjuangan bersenjata.
Lulusan Universiti Islam di Gaza, Sinwar belajar bahasa Ibrani selama 23 tahun di penjara Israel.
Sinwar menjalani empat hukuman seumur hidup kerana membunuh dua askar Israel.
Pada 2011 dia menjadi antara 1,100 rakyat Palestin yang dibebaskan sebagai pertukaran dengan tentera Perancis-Israel, Gilad Shalit.
Sementara Deif pula dianggap sebagai musuh awam nombor satu Israel selama dua dekad yang lalu.
Deif dituduh terlibat dalam serangan berani mati, penculikan dan beberapa serangan hendap.
Deif dilahirkan sebagai Mohammed Diab Al-Masri pada tahun 1965.
Namanya bermaksud "Tetamu" dalam bahasa Arab dan dia dilaporkan tidak pernah menghabiskan lebih daripada satu malam di tempat yang sama. Musuh telah menggelarnya "kucing dengan sembilan nyawa" kerana dia telah terselamat sekurang-kurangnya dalam enam percubaan untuk membunuhnya.
Dia telah terlibat dengan Hamas sejak 1980-an dan telah ditangkap pada permulaan intifada kedua tetapi melarikan diri, atau dibebaskan, dari penjara Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 2000. Dia menjadi ketua sayap tentera Hamas pada tahun 2002.
Israel telah menghantar amaran berulang kali kepada kepimpinan Hamas sejak 7 Oktober lalu.
“Setiap anggota Hamas adalah orang mati,” kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Seorang pakar ketenteraan dan keselamatan H.A. Hellyer yang bertugas di Royal United Services Institute, London berkata menghapuskan Sinwar dan Deif sama sekali tidak akan menghancurkan kumpulan pejuang Hamas dan menganggap Hamas mempunyai pelan kedua sekiranya kedua-duanya terbunuh di tangan Israel.-Arab news.com