fb fb fb fb fb

Israel meningkatkan serangan udara di bandar Rafah

FOTO AFP

GAZA, 9 Februari -Tentera Israel meningkatkan serangan udara ke atas Rafah di selatan Gaza semalam ketika kebimbangan pertempuran darat semakin meningkat dalam kalangan lebih sejuta rakyat Palestin yang berkerumun ke bandar itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken meninggalkan Israel tanpa mendapat jeda kemanusian dalam pertempuran, menamatkan lawatan krisis kelimanya di Timur Tengah sejak perang bermula.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata beliau telah mengarahkan tentera untuk “bersedia untuk beroperasi” di Rafah, selepas menolak yang disifatkannya sebagai “tuntutan aneh” Hamas dalam rundingan gencatan senjata.

Netanyahu mengumumkan arahan itu walaupun ketua PBB, Antonio Guterres memberi amaran bahawa kemaraan tentera ke Rafah "akan meningkatkan 'mimpi ngeri' 'buat rakyat Palestin.

Wartawan AFP melaporkan bahawa Israel melakukan sekurang-kurangnya tujuh serangan udara semalaman di kawasan Rafah, menakutkan orang awam yang berkerumun ke tempat perlindungan dan kem sementara.

Seorang penduduk, Umm Hassan, 48, berkata rumahnya rosak akibat tembakan Israel ke rumah seorang ketua polis tempatan yang berdekatan.

“Serangan ini adalah bukti tiada lagi tempat yang selamat di Rafah. Tengok unit kediaman yang mereka baru letupkan.

“Mengenai ancaman Netanyahu untuk menyerang Rafah, kami adalah orang yang beriman. Kami tidak risau. Hidup adalah satu dan Tuhan adalah satu," katanya.

Serangan dan pertempuran darat berterusan merentasi wilayah yang diperintah Hamas, kini memasuki bulan kelima, di mana kementerian kesihatan berkata 130 orang lagi terbunuh dalam tempoh 24 jam.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI