KAHERAH, 13 Oktober- Tentera Israel meluaskan serbuan mereka ke utara Gaza. Kereta kebal tiba di pinggir utara Bandar Gaza dan merosakkan beberapa daerah di sekitar Sheikh Radwan dan memaksa ramai keluarga meninggalkan kediaman, kata penduduk.
Tentera Israel telah mengasingkan Beit Hanoun, Jabalia, dan Beit Lahiya di utara kawasan enklaf dari bandar Gaza. Selain itu akses antara kedua-dua kawasan turut disekat kecuali atas kebenaran tentera Israel.
Pejabat media kerajaan Gaza berkata, serangan Israel itu telah membunuh kira-kira 300 rakyat Palestin di utara Gaza.
Tindakan kejam berkenaan dijadikan sebagai alasan untuk memaksa penduduk Gaza meninggalkan kediaman mereka selama-lamanya.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, berpuluh-puluh individu disahkan maut dalam serangan di kawasan utara.
Manakala berpuluh-puluh yang lain dikhuatiri mati di jalan raya dan di bawah runtuhan rumah yang tidak dapat dicari oleh pasukan perubatan.
Sementara itu di Jabalia, ramai penduduk memuat naik hantaran di platform media sosial; "Kami tidak akan pergi, kami mati, dan kami tidak pergi."
Bahagian utara Gaza, menempatkan lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk di wilayah itu, telah dibom menjadi runtuhan dalam fasa pertama serangan Israel di wilayah itu setahun lalu.
Selepas setahun serangan Israel, kira-kira 42,000 rakyat Palestin maut manakala ratusan ribu penduduk cuba kembali ke kawasan utara yang musnah.
Kini Israel menghantar semula tenteranya ke utara Gaza dan menakluk kawasan itu.- REUTERS