fb fb fb fb fb

Israel lakukan jenayah kemanusiaan, perang di Gaza- Laporan siasatan PBB

Foto AFP

GENEVA, 13 Jun- Israel didapati melakukan jenayah kemanusiaan semasa perang di Gaza, termasuk melakukan pemusnahan.

Demikian menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas PBB itu merupakan penyiasatan mendalam pertama oleh pakar PBB mengenai konflik Israel-Palestin.

Laporan itu menyatakan serangan meluas disasarkan terhadap penduduk awam di Gaza.

Pakar penyiasat turut mendapati rejim zionis Israel mencabuli undang-undang antarabangsa yang lain.

Antaranya, sengaja menyasarkan orang awam di Gaza, melakukan penganiayaan jantina yang menyasarkan lelaki dan kanak-kanak lelaki Palestin, pemindahan secara paksa, penyeksaan serta perlakuan tidak berperikemanusiaan dan kejam.

Bagaimanapun, Israel menolak penemuan tersebut, dan mendakwa suruhanjaya itu sebagai "diskriminasi anti-Israel yang sistematik".

"Adalah penting bahawa semua mereka yang melakukan jenayah bertanggungjawab," kata Navi Pillay, bekas Ketua Hak Asasi Manusia PBB dan bekas hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mempengerusikan suruhanjaya itu.

“Israel mesti segera menghentikan operasi ketenteraan dan serangannya di Gaza,” katanya.

Laporan itu juga menyalahkan pihak berkuasa Israel kerana gagal melindungi orang awam di selatan Israel di hampir setiap bahagian.

Sementara itu, di Tebing Barat, suruhanjaya itu mendapati bahawa tentera Israel melakukan tindakan keganasan seksual, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan atau kejam. Tindakan itu adalah jenayah perang.

Laporan itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, minggu depan.

Suruhanjaya Siasatan telah ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mei 2021 untuk menyiasat dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Israel dan wilayah Palestin.-AFP

ROSLINA BINTI DIN