fb fb fb fb fb

Lebih 8,000 kanak-kanak di Gaza alami kekurangan zat makanan

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus/ AFP

GENEVA, 13 Jun- Lebih 8,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun telah dirawat di Gaza kerana mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, sejak konflik Israel-Palestin.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan, daripada jumlah itu, 1,600 kanak-kanak di ambang kematian, manakala 28 lagi telah meninggal dunia.

"Walaupun terdapat laporan peningkatan penghantaran makanan, pada masa ini tiada bukti bahawa mereka yang paling memerlukannya menerima kuantiti dan kualiti makanan yang mencukupi," katanya dalam satu sidang media.

Beliau berkata agensi kesihatan PBB dan rakan kongsinya telah cuba meningkatkan perkhidmatan pemakanan di wilayah Palestin yang terkepung.

“Lebih 8,000 kanak-kanak bawah lima tahun telah didiagnos dan dirawat kerana kekurangan zat makanan yang teruk,” katanya.

Tambahnya, hanya dua pusat rawatan untuk pesakit kekurangan zat makanan yang teruk boleh beroperasi ketika ini kerana faktor keselamatan dan kekurangan akses.

“Ketidakupayaan kami menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan selamat, ditambah dengan kekurangan air bersih dan sanitasi, meningkatkan risiko kanak-kanak kekurangan zat makanan dengan ketara,” katanya.

"Terdapat 32 kematian yang dikaitkan dengan kekurangan zat makanan, termasuk 28 orang dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

Dalam pada itu, WHO telah mendokumentasikan 480 serangan ke atas kemudahan dan kakitangan penjagaan kesihatan di Tebing Barat, mengakibatkan 16 kematian dan 95 kecederaan di wilayah Palestin.

"Di Tebing Barat, seperti di Gaza, satu-satunya penyelesaian ialah keamanan, ubat terbaik adalah kedamaian", katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, lebih 37,000 penduduk Palestin terkorban dalam serangan tentera zionis ke atas Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN