MAJDAL SHAMS, 29 Julai- Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berikrar akan "bertindak balas" selepas bedilan roket dari Lubnan membunuh 12 kanak-kanak dan remaja di Bukit Golan yang dikhuatiri akan menimbulkan kebimbangan bahawa perang di Gaza akan merebak.
Iran sebelum ini memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang "pencerobohan" tentera di Lubnan boleh membawa kepada "padah yang tidak dijangkakan".
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam bedilan roket itu dan menyeru semua pihak supaya "mengawal diri masing-masing".
Tentera Israel menyifatkannya sebagai "serangan paling maut ke atas orang awam Israel" sejak serangan 7 Oktober lalu yang memulakan perang di Gaza dan mencetuskan kejadian berbalas tembakan di sempadan Lubnan.
Israel menyalahkan Hezbullah kerana melancarkan roket Falaq-1 tetapi kumpulan yang disokong Iran - yang kerap menyasarkan markas tentera Israel berkata ia "tiada kaitan" dengan insiden itu.
Hezbullah bagaimanapun, mengakui bahawa ia melancarkan sebuah roket sedemikian ke arah pangkalan tentera Israel di Golan pada Sabtu lalu.
Bedilan roket di Majdal Shams, yang penduduknya adalah orang Druze berbahasa Arab, mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk pulang lebih awal dari Amerika Syarikat.
Sebaik tiba di Israel, Netanyahu segera mengadakan mesyuarat kabinet keselamatan, menurut pejabatnya.
"Hezbullah akan menanggung padah atas serangan itu yang belum pernah ditanggungnya sebelum ini," katanya.
Selepas mesyuarat itu, pejabatnya berkata anggota kabinet memberi kuasa kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan untuk memutuskan cara dan masa tindak balas terhadap organisasi Hizbullah namun tiada butiran lanjut mengenainya.
Kementerian Luar Israel menyatakan bahawa Hezbullah sudah "melampaui batas".
Menjangkakan serangan balas Israel, Hezbullah sudah mengosongkan sejumlah kubu dan markasnya berhampiran kawasan sempadan dan di timur Lubnan, menurut sumber yang rapat dengan kumpulan itu.- REUTERS