fb fb fb fb fb

Israel dakwa sedang siap sedia balas serangan peluru berpandu Iran

FOTO REUTERS

BAITULMAQDIS, 5 Oktober- Seorang pegawai Israel memberitahu AFP pada Sabtu bahawa tenteranya sedang mempersiapkan tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran yang menyasarkan Israel awal minggu ini.

"IDF (tentera Israel) sedang mempersiapkan tindak balas terhadap serangan Iran yang tidak sah dan luar biasa ke atas orang awam dan Israel," kata pegawai tentera tersebut.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai bentuk atau masa tindak balas itu.

Akhbar Haaretz yang berhaluan kiri di Israel, memetik tentera, melaporkan bahawa tindak balas itu akan menjadi "signifikan".

"IDF sedang mempersiapkan serangan signifikan di Iran selepas serangan peluru berpandu dari Tehran minggu ini," lapor akhbar tersebut.

"Angkatan tentera tidak menolak kemungkinan bahawa Iran mungkin melancarkan peluru berpandu ke wilayah Israel sekali lagi selepas serangan Israel," tambahnya.

Pada 1 Oktober, Iran melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu ke Israel, yang merupakan serangan langsung kedua ke atas negara itu dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Kebanyakan peluru berpandu itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel, manakala beberapa daripadanya mengenai pangkalan tentera tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar atau korban jiwa.

Iran mengatakan peluru berpandu itu dilancarkan untuk membalas dendam atas pembunuhan ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah, yang terbunuh akibat serangan udara Israel di ibu negara Lubnan pada 27 September.

Serangan peluru berpandu Iran juga sebagai tindak balas terhadap kematian bekas ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang terbunuh di Tehran pada 31 Julai.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE