JAKARTA, 5 Oktober- Presiden Joko Widodo menyeru Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk sentiasa berwaspada dan bersiap sedia ketika negara berdepan dengan cabaran global yang semakin meningkat, termasuk kemajuan teknologi yang pesat, ancaman siber yang semakin bertambah dan peningkatan ketegangan geopolitik.
Bercakap semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun TNI ke-79 di Jakarta Pusat pada Sabtu, Widodo yang turut dikenali sebagai Jokowi menekankan perubahan sifat konflik moden, yang kini melangkaui peperangan tradisional untuk merangkumi pertikaian ekonomi dan perdagangan.
"Cabaran masa depan sememangnya tidak semakin mudah. TNI perlu sentiasa menambah baik, menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku, dan meningkatkan keupayaan serta profesionalismenya," katanya.
Jokowi menekankan kepentingan kerjasama, menyeru TNI untuk bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kestabilan, melakukan libat urus dengan universiti dalam kemajuan saintifik, dan bekerjasama dengan pemimpin industri untuk mengukuhkan sektor pertahanan domestik Indonesia.
Ketika beliau bersedia untuk menyerahkan kuasa kepada Menteri Pertahanan Jeneral (Bersara) Prabowo Subianto pada 20 Okt, Jokowi mengucapkan terima kasih kepada presiden terpilih Prabowo atas usaha beliau dalam memodenkan peralatan ketenteraan, mempromosikan industri pertahanan negara, dan meningkatkan diplomasi pertahanan.
Presiden turut menyampaikan penghargaan terhadap komitmen anggota TNI, mengakui peranan penting mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara dan mengekalkan kestabilan politik sepanjang tempoh sedekad pentadbirannya.
Beliau juga menggesa TNI untuk memastikan kestabilan menjelang pelantikan presiden yang akan datang dan Pilihan Raya Wilayah pada November, yang melibatkan 508 daerah dan bandar di 37 wilayah.
Majlis ulang tahun di Dataran Monumen Nasional itu menyaksikan ribuan anggota tentera daripada tiga cabang TNI - darat, laut, dan udara.
Mereka mengambil bahagian dalam perbarisan yang mempamerkan lebih daripada seribu peralatan ketenteraan, termasuk kenderaan taktikal, kenderaan tempur berperisai, trak pengangkut pasukan, jet pejuang, dan sistem pelancar senjata.- BERNAMA