fb fb fb fb fb

Israel benarkan bantuan ke Gaza melalui Mesir, serangan diteruskan

(FOTO REUTERS)

BAITULMAQDIS, 19 Oktober- Setelah ribuan penduduk Palestin mati dan cedera seterusnya puluhan ribu menjadi pelarian susulan lebih seminggu serangan Israel ke Gaza, rejim itu akhirnya membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dari negara jiran Mesir.

Namun rejim zionis itu masih mengekalkan pengepungan di wilayah Palestin yang diidami mereka.

Kesan buruk daripada sekatan Israel dan pengeboman berterusan ke atas Gaza, yang menempatkan 2.4 juta orang, dilaporkan menjadi bahan perbincangan utama ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke Israel selama beberapa jam semalam.

"Berdasarkan permintaan Presiden Biden, Israel tidak akan menggagalkan bekalan bantuan kemanusiaan melalui Mesir," kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengumumkan keputusan Kabinet.

Kenyataan itu menyatakan bantuan kepada orang awam di selatan Gaza akan dibenarkan "selagi bekalan ini tidak sampai ke Hamas", yang memerintah wilayah itu.

"Israel menuntut Bulan Sabit Merah melawat dan sedang berusaha untuk menggerakkan sokongan antarabangsa secara meluas," tambah kenyataan itu.

Penduduk Gaza berdepan kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas lain yang serius kerana wilayah itu disekat sepenuhnya berikutan serangan mengejut pejuang Hamas pada 7 Oktober ke atas tanah milik merek sendiri yang diduduki rejim zionis. 

Konflik sejak 7 Oktober lalu telah meragut kira-kira 1,400 nyawa di Israel, sementara di Gaza lebih tinggi 3,478 orang.

Sebelum ini Israel memberi amaran ia tidak akan membenarkan bantuan ke Gaza sehingga tebusan dibebaskan.

Pengumuman Israel itu dibuat ketika Biden menamatkan lawatannya, yang mana beliau mengumumkan bantuan AS$100 juta (RM474.45 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Biden juga berjanji bantuan ketenteraan untuk membantu Israel mengekalkan sistem pertahanan udara Iron Dome dan berkata beliau akan meminta Kongres AS minggu ini untuk pakej sokongan pertahanan yang "belum pernah berlaku sebelum ini" untuk Israel. -AFP

(Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke Israel, semalam/ AFP)

 

Media Baharu