fb fb fb fb fb

Iran tutut AS bayar AS$6.8 bilion untuk kesan sekatan ke atas pesakit

FOTO HIASAN

TEHRAN, 12 Julai- Mahkamah Iran telah memerintahkan Amerika Syarikat membayar hampir AS$6.8 bilion sebagai ganti rugi untuk kesan sekatan ke atas pesakit yang menghidap penyakit kulit yang jarang berlaku, kata badan kehakiman.

Mahkamah Antarabangsa di Tehran mengarahkan musuhnya Amerika Syarikat membayar AS$6.785 bilion kepada pesakit dengan epidermolisis bulosa, gangguan yang menyebabkan kulit mudah melepuh, kata laman web badan kehakiman Mizan Online pada Khamis.

Presiden Donald Trump ketika itu pada 2018 secara sepihak menarik AS daripada perjanjian nuklear antara Iran dan beberapa kuasa global. Beliau mengenakan semula sekatan ekonomi yang telah ditarik balik bawah perjanjian itu.

Langkah Washington "menafikan pesakit ini daripada ubat-ubatan dan salap", yang membawa kepada "kematian kira-kira 20 orang", kata Mizan Online.

"Perbicaraan bermula pada November 2021, apabila 295 pengadu, termasuk pesakit, membawa 30 pegawai Amerika ke mahkamah kerana mengambil bahagian dalam penubuhan sekatan," tambah Mizan.

Mereka memfailkan kes itu selepas pakar bebas Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Oktober 2021 memetik kesan langkah AS terhadap pesakit epidermolisis bullosa sebagai contoh "terlalu mematuhi sekatan".

Washington telah mengecualikan bantuan kemanusiaan, terutamanya ubat-ubatan dan peralatan perubatan, daripada sekatannya.

Tetapi pembelian antarabangsa bagi bekalan sedemikian telah dihalang oleh bank yang berhati-hati menjalankan perniagaan dengan Iran.

Pakar PBB memetik kes syarikat Sweden yang menghentikan penjualan pembalut khas kepada pelanggan Irannya. Pembalut sedemikian memberikan kelegaan penting kepada pesakit dengan epidermolisis bulosa.

Pada bulan Mac, Mizan melaporkan bahawa badan kehakiman Iran telah mengarahkan penyitaan minyak Amerika bernilai lebih daripada AS$50 juta di atas sebuah kapal tangki yang dirampas pada 2023.

Ia berkata rampasan itu sebagai tindakan balas terhadap "sekatan negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat, yang membawa kepada pencegahan penjualan ubat-ubatan yang diperlukan untuk pesakit epidermolysis bullosa".-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE