TEHRAN, 22 Julai – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan negaranya tidak akan menghentikan program pengayaan nuklear meskipun fasiliti berkaitan mengalami kerosakan teruk akibat serangan semasa konflik terbaru dengan Israel yang turut membabitkan pengeboman oleh Washington.
"Ia kini terhenti kerana kerosakan yang serius. Namun, kami tidak boleh menyerah terhadap program pengayaan ini kerana ia adalah hasil usaha saintis kami sendiri. Malah kini ia menjadi soal maruah negara," katanya kepada Fox News.
Tambah beliau, program nuklear Iran bukan sesuatu yang boleh dihancurkan dengan serangan bom semata-mata kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.
"Teknologi, tenaga pakar dan pengetahuan itu tetap ada. Bangunan boleh dibina semula, fasiliti boleh dibaik pulih, mesin boleh diganti. Serangan ini hanya membuktikan tiada penyelesaian ketenteraan yang mampu menghapuskan program ini."
Araghchi turut menyatakan kesediaan Iran untuk mengambil langkah-langkah membina keyakinan bagi membuktikan bahawa program nuklear negara itu bersifat aman dan tidak bertujuan membangunkan senjata nuklear.
"Jika mereka bersedia untuk penyelesaian menang-menang, kami juga bersedia. Apa yang kami harapkan hanyalah penghapusan sekatan terhadap Iran."-REUTERS