fb fb fb fb fb

Iran buka semula sebahagian ruang udara untuk penerbangan antarabangsa

Foto fail/REUTERS

TEHRAN, 28 Jun - Iran meluaskan akses ruang udaranya bagi penerbangan antarabangsa susulan gencatan senjata dengan Israel, menurut seorang pegawai pada Sabtu.

Bagaimanapun sekatan penerbangan masih berkuat kuasa di sebahagian besar kawasan negara itu.

Jurucakap Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar, Majid Akhavan dalam satu kenyataan berkata, ruang udara di bahagian tengah dan barat negara itu kini telah dibuka semula, namun hanya bagi penerbangan lintas udara antarabangsa.

Penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang di kawasan utara, selatan dan barat masih digantung buat masa ini. Ia termasuk Lapangan Terbang Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran.

"Semua warga diminta untuk tidak pergi ke lapangan terbang yang terletak di wilayah utara, selatan dan barat negara,” kata Akhavan sambil menasihati orang ramai agar mengikuti perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi.

Langkah itu dibuat susulan pembukaan semula ruang udara di timur Iran pada Rabu lalu, selepas tamatnya konflik bersenjata selama 12 hari dengan Israel.

Iran sebelum ini telah menutup sepenuhnya ruang udaranya pada 13 Jun selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran, yang kemudiannya dibalas dengan serangan peluru berpandu oleh Iran.

Lapangan terbang yang kini beroperasi termasuk Mashhad di timur Iran.

Penerbangan di wilayah lain masih ditangguhkan sehingga diberitahu kelak. - AFP

TETITIA YUSOFF