SHANGHAI, 28 Jun - Bandar tepi sungai Rongjiang di wilayah Guizhou sekali lagi ditenggelami banjir pada Sabtu.
Keadaan itu memaksa lebih 40,000 penduduk dipindahkan ke kawasan lebih tinggi selepas hujan lebat melanda kawasan itu buat kali kedua dalam minggu sama.
Menurut kenyataan kerajaan wilayah Guizhou kepada Reuters pada Jumaat, paras air tertinggi yang direkodkan awal minggu ini mencecah 256.7 meter iaitu paras tertinggi sejak tahun 1954.
Pihak berkuasa menyifatkan banjir luar biasa ini berpunca daripada "iklim ekstrem" yang kini semakin kerap melanda wilayah barat daya China.
Susulan itu pihak berkuasa menaikkan tahap tindak balas kecemasan banjir di bandar tersebut ke tahap tertinggi.
Dalam tempoh dua hari lalu, 13 sungai utama di wilayah Yunnan, Guizhou, Guangxi dan Hainan dilaporkan melepasi paras amaran akibat ribut berterusan, menurut Kementerian Sumber Air yang dipetik CCTV. - REUTERS