fb fb fb fb fb

Iran beri amaran akan pertahankan diri selepas serangan Israel

Foto: AFP

TEHRAN, 27 Oktober- Iran memberi amaran akan mempertahankan diri selepas serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya empat askar dan seterusnya mencetuskan kebimbangan perang besar-besaran di Asia Barat.

Iran turut menegaskan ia mempunyai 'hak dan kewajipan' untuk mempertahankan diri, manakala sekutunya di Lubnan, Hezbollah, menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan roket yang menyasar lima kawasan kediaman di utara Israel.

Tentera Israel berkata 80 peluru dilepaskan merentasi sempadan pada Sabtu.

Hezbollah kemudiannya mengeluarkan amaran pemindahan untuk beberapa lokasi di Israel, manakala tentera Israel membuat amaran sama untuk dua kawasan kejiranan di selatan Beirut.

Israel turut memberi amaran bahawa Iran akan 'membayar harga yang tinggi' jika ia membalas serangan itu dan Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Britain menuntut Tehran supaya tidak meningkatkan konflik lebih lanjut.

Ini susulan agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan melaporkan awal pagi tadi, Israel melancarkan serangan baru di pinggir bandar selatan Beirut.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dilakukannya selepas letupan dan tembakan anti-pesawat bergema di sekitar Tehran dan membedil kilang peluru berpandu Iran serta kemudahan tentera di beberapa wilayah.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden berharap 'ini adalah penamat' selepas serangan Israel yang berlaku sebelum subuh, dengan menyatakan bahawa 'serangan itu hanya menyasarkan lokasi ketenteraan'.

Biden turut menggesa Israel supaya mengelakkan menyerang kemudahan nuklear dan minyak dalam serangan balasnya, dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa tiada tapak nuklear yang terjejas.

Kesatuan Eropah (EU) turut menggesa semua pihak untuk menahan diri sepenuhnya bagi mengelakkan 'peningkatan yang tidak terkawal'.

Negara-negara lain, termasuk banyak negara jiran Iran, mengutuk serangan Israel dan beberapa seperti Rusia, menggesa kedua-dua pihak untuk mengawal diri dan mengelakkan apa yang disebut Moscow sebagai 'senario bencana'.

Sementara itu, Menteri Luar, Abbas Araghchi mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Qatar dan Syria.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dari Qatar, pengantara utama dalam usaha gencatan senjata Gaza, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kesan serius yang mungkin timbul daripada peningkatan ini.

Sejak bulan lalu, Israel telah berperang melawan Hezbollah di Lubnan, termasuk serangan yang telah membunuh kepimpinan kanan kumpulan itu dan pencerobohan darat yang cuba memusnahkan tapak peluru berpandu.

Selama lebih setahun sejak serangan pada 7 Oktober 2023, Israel telah berperang di Gaza yang telah menyebabkan ramai orang awam terkorban di wilayah Palestin yang padat dengan penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran "saat paling gelap" konflik itu sedang berlaku, dengan rakyat Palestin menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk dan pengeboman Israel setiap hari.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI