fb fb fb fb fb

Iran adakan upacara pengebumian mangsa perang

Upacara peringatan diadakan di Dataran Enghelab, Tehran, sebelum perarakan pengebumian diteruskan ke Dataran Azadi. Foto AFP

TEHRAN, 29 Jun - Iran pada Sabtu mengadakan majlis pengebumian negara untuk komander tentera dan saintis nuklearnya yang terbunuh semasa konflik 12 hari dengan Israel.

Majlis dihadiri keluarga mangsa terkorban, pegawai tinggi Iran dan komander tentera, termasuk Presiden, Masoud Pezeshkian; Ketua Kehakiman, Gholamhossein Mohseni-Ejei; Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf; dan Menteri Luar, Seyed Abbas Araghchi.

Turut hadir penasihat kanan kepada pemimpin tertinggi Iran, Ali Shamkhani.

Mereka yang berkabung mengibarkan bendera Iran sambil melaungkan slogan menentang Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Antara yang terkorban termasuk Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami; Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Mohammad Bagheri; dan Ketua Komander Bahagian Aeroangkasa IRGC, Amir Ali Hajizadeh.

Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni menegaskan bahawa, angkatan bersenjata Iran sangat berwaspada untuk memberikan tindak balas yang tegas terhadap sebarang "tindakan berniat jahat" atau mungkir janji oleh musuh.

"AS dan Israel membuktikan bahawa mereka gagal untuk memenuhi mana-mana komitmen mereka," katanya pada majlis itu.

Istiadat pengebumian dijadual berlangsung hari ini.

Pada 13 Jun lepas, Israel melancarkan serangan udara besar di beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk tapak nuklear dan kem tentera. Serangan rejim Zionis itu membunuh beberapa komander kanan, saintis nuklear dan orang awam.

Sebagai tindak balas, Iran melakukan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas Tel Aviv. Berikutan konflik selama 12 hari itu, gencatan senjata antara Iran dan Israel dicapai pada Selasa. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI