fb fb fb fb fb

Iran, Ethiopia sasar perkukuh hubungan politik, ekonomi

Foto REUTERS

TEHRAN, 14 Disember -Iran dan Ethiopia telah menetapkan matlamat untuk meluaskan hubungan politik, ekonomi dan budaya mereka, dengan keahlian BRICS terkini kedua-dua negara dijangka memudahkan kerjasama lebih rapat, kata Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf.

Bercakap pada sidang media bersama Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Ethiopia Tagesse Chafo di Parlimen Iran pada Sabtu, Ghalibaf menyorot hubungan selama tujuh dekad kedua-dua negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Beliau berkata lawatan rasmi dua hari Chafo ke Tehran merupakan susulan kepada lawatan Ghalibaf ke Addis Ababa tahun lepas dan selari dengan penyertaan Iran dan Ethiopia ke dalam BRICS.

Speaker Iran itu menggambarkan Ethiopia sebagai sebuah negara Afrika utama dengan populasi besar dan hubungan budaya serta agama yang mendalam dengan dunia Islam, terutamanya Iran.

Beliau menekankan bahawa kedua-dua negara telah mengenal pasti pembangunan ekonomi, politik dan budaya sebagai matlamat utama untuk kerjasama dua hala.

Ghalibaf juga menggariskan rancangan untuk meluaskan hubungan ekonomi dan perdagangan melalui koridor Laut Merah dan mengukuhkan kerjasama parlimen melalui kumpulan persahabatan, yang akan memudahkan kerja bersama lebih pantas antara suruhanjaya ekonomi kedua-dua badan perundangan.

Mengimbas kembali perbincangan terdahulunya dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed, Ghalibaf berkata perdana menteri itu telah berjanji untuk melawat Tehran, suatu langkah yang dijangka akan memperdalam lagi hubungan politik dan ekonomi.

Beliau berkata Iran menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Afrika, khususnya di Tanduk Afrika, menyokong integriti wilayah sambil meneroka peluang dalam pertanian, tenaga, perkhidmatan teknikal dan industri berasaskan pengetahuan dengan Ethiopia.

Speaker parlimen Ethiopia itu memuji Iran atas hubungan diplomatik lebih tujuh dekad dan menyatakan lawatan semasa menandakan delegasi Ethiopia peringkat tertinggi yang diterima di Tehran sejak lawatan bersejarah diraja enam dekad lepas.

Merujuk kepada lawatan terkini Ghalibaf ke Ethiopia, Chafo meluahkan harapan untuk memperdalam kerjasama parlimen dan meluaskan hubungan dua hala antara kedua-dua kerajaan dan rakyat.

Beliau menyerlahkan hubungan sejarah dan budaya bersama, kepentingan keahlian BRICS dan usaha disasarkan untuk meningkatkan hubungan politik, ekonomi dan budaya.

Beliau juga berkata rancangan sedang dijalankan untuk delegasi parlimen Iran melawat Ethiopia, sementara kumpulan persahabatan parlimen Ethiopia–Iran juga akan melawat Tehran untuk mengembangkan kerjasama. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF