fb fb fb fb fb

Indonesia lakukan pemeriksaan rak runcit bagi pematuhan label halal

Foto Hiasan/REUTERS

JAKARTA, 16 Oktober- Pihak berkuasa Indonesia akan membuat pemeriksaan rak kedai runcit bagi meninjau pematuhan undang-undang yang memerlukan label halal pada barangan makanan mulai Jumaat ini, kata seorang pegawai hari ini.

Perkara itu tetap dilaksanakan walaupun beberapa pengimport dan restoran menghadapi halangan untuk mematuhinya.

Indonesia yang merupakan negara majoriti Islam terbesar dunia menerima pakai peraturan pada 2014 yang memerlukan pelabelan untuk restoran dan produk makanan, yang mana ia menetapkan tarikh akhir 17 Oktober untuk memastikan label barangan halal dimakan di bawah undang-undang Islam.

Walaupun kebanyakan perniagaan di negara berpenduduk 280 juta sedia mematuhinya serta bersama beberapa pengeluar makanan global utama, ada sebilangan lagi mengatakan mereka memerlukan lebih banyak masa.

Menurut Pengarah Urusan Dewan Perniagaan Amerika (AmCham), Lydia Ruddy, sebahagian daripada mereka memang mahu menjadi sebahagian daripada pasaran kukuh Indonesia untuk produk halal, tetapi masih menghadapi rantaian bekalan yang kompleks dan kekurangan garis panduan yang jelas.

"Ini berpotensi membawa kepada gangguan perdagangan dan kos yang lebih tinggi," katanya kepada Reuters.

Beliau menjelaskan, AmCham sedang berbincang dengan kerajaan mengenai perkara itu.

Beliau turut menggesa lebih banyak pentauliah asing untuk mempercepatkan pemeriksaan produk dan bahan mentah di luar negara bagi membantu ahli AmCham yang terjejas.

Undang-undang memerlukan produk atau restoran tanpa pensijilan untuk mengisytiharkan mereka tidak mematuhi undang-undang Islam, satu langkah yang boleh menjejaskan jualan.

Undang-undang Islam melarang penjualan daging babi atau bahan yang memabukkan seperti alkohol, sementara daging hanya boleh dimakan jika haiwan disembelih mengikut kaedah yang ditetapkan.

Menurut Ketua Badan pensijilan halal BPJPH, Aqil Irham, pihaknya ada mengemukakan permohonan supaya kerajaan memberi pengecualian dua tahun ke atas beberapa bahan mentah yang digunakan dalam industri makanan dan minuman serta produk perniagaan kecil, tetapi presiden belum menandatanganinya.

Dengan Presiden Indonesia yang dipilih, Prabowo Subianto akan mengambil alih jawatan daripada Joko Widodo hujung minggu depan, tidak jelas sama ada dispensasi sedemikian boleh dikeluarkan tepat pada masanya.

Setakat ini, pejabat presiden belum mengeluarkan sebarang komen.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan menangguhkan soalan mengenai penangguhan pelaksanaan peraturan itu kepada BPJPH.

Bermula Jumaat, pihak berkuasa akan membuat pemeriksaan untuk memeriksa pematuhan dan mengeluarkan amaran rasmi kepada pengeluar barangan yang tidak mempunyai label yang jelas, kata pegawai perdagangan domestik Moga Simatupang.

"Kami akan mengambil tindakan pentadbiran terhadap ketidakpatuhan, jadi kami menggesa pengimport segera mendaftar untuk mendapatkan label halal," katanya.

Katanya, sekiranya tiada pematuhan, produk itu akan dikeluarkan daripada jualan tanpa menetapkan jangka masa.

Kebanyakan daripada 400 ahli Persatuan Industri Makanan dan Minuman Indonesia mematuhinya, tetapi restoran dan hotel menghadapi kesukaran kerana pihak berkuasa memerlukan masa untuk menyemak tawaran menu, kata pengerusi persatuan itu, Adhi Lukman.

Tafsiran konservatif Islam mendapat berkembang di Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membawa kepada perubahan besar kepada ekonomi, merentas industri daripada hiburan kepada perbankan. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI