JAKARTA, 8 Jun- Kerajaan Indonesia mengecam ratusan peneroka Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmuqaddis yang diduduki semasa acara Perarakan Bendera mereka pada Rabu lepas.
"Tindakan sedemikian adalah sangat provokatif dan sangat menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia," kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu hantaran di platform media sosial X pada Khamis malam.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Indonesia mengulangi gesaan agar semua bentuk pelanggaran dan tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan tentera Israel di wilayah yang diduduki Palestin, termasuk Gaza, dihentikan segera.
Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci dalam Islam, selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah, Arab Saudi.
Perarakan Bendera adalah acara tahunan yang menandakan ulang tahun pendudukan Baitulmuqaddis pada 1967.