NEW DELHI, 16 Jun- Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi berkata India perlu menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi meraih manfaat daripada pelbagai peluang perdagangan serantau.
Meskipun India turut serta dalam rundingan RCEP tetapi negara ini tidak menandatangani perjanjian itu yang dipersetujui pada November 2020 dan berkuat kuasa pada Januari tahun ini.
Berucap pada persidangan Dialog New Delhi di sini hari ini, beliau berkata India harus mempertimbangkan semula untuk menyertai perjanjian penting itu bagi mendapatkan akses kepada pasaran yang lebih luas.
ASEAN serta rakan ekonomi utamanya Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan adalah sebahagian daripada negara yang membentuk blok perdagangan bebas terbesar.
(Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi)
Mengulas mengenai tekanan yang dihadapi rantaian bekalan global akibat perang Rusia-Ukraine dan pandemik COVID-19, Lim berkata usaha ASEAN tertumpu kepada pemudah cara perdagangan dan memastikan tiada halangan terhadap aliran barangan serta perkhidmatan. -BERNAMA