fb fb fb fb fb

India rancang larangan kenderaan petrol, diesel di Mumbai

Trafik di hadapan bangunan Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus (CSMT) di Mumbai, India/ Reuters

MUMBAI, 29 Januari- Negeri barat India Maharashtra membentuk pasukan untuk mengkaji cadangan larangan kenderaan petrol dan diesel di sini.

Ke arah itu hanya penggunaan kenderaan elektrik dan gas dibenarkan di kawasan bandar berikutan kualiti udara semakin teruk, katanya dalam satu perintah.

Bagaimanapun larangan berkenaan akan menjejaskan rakyat dan perniagaan di kawasan bandar termasuk pengeluar kereta.

Ketika ini semuanya bergantung kepada kenderaan menggunakan petrol dan diesel. Sementara itu infrastruktur pengecasan elektrik masih tidak mencukupi dan ia masih membangunkan rangkaian kereta api metro.

Bandar itu merupakan pusat saham negara dan pejabat beberapa bank global dan syarikat multinasional, namun ia berdepan kualiti udara semakin buruk.

Ia didorong kesesakan lalu lintas dan beberapa projek infrastruktur dan pembinaan yang sedang dilakukan.

Kerajaan Maharashtra berkata ia telah membentuk jawatankuasa tujuh anggota untuk mengkaji cadangan larangan itu dan hanya membenarkan kenderaan gas asli dan elektrik digunakan di Mumbai.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu pada 22 Januari dan menjadi tumpuan umum selepas media India melaporkan perkara berkenaan secara meluas.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Bombay dalam litigasi kepentingan awam mengarahkan kerajaan negeri Maharashtra membentuk jawatankuasa pakar untuk mengkaji berkenaan larangan kenderaan petrol dan diesel daripada memasuki kawasan bandar.

"Pelepasan kenderaan adalah salah satu punca utama pencemaran udara. Jalan raya di kota metropolitan Mumbai sesak dengan kepadatan kenderaan di jalan raya membimbangkan," kata mahkamah dalam perintah pada 9 Januari.

Kualiti udara di Mumbai semakin merosot sejak 2020, ia menunjukkan peningkatan 12 peratus berdasarkan indeks kualiti udara.

India mempunyai beberapa bandar paling tercemar di dunia termasuk New Delhi, yang turut mencapai tahap tidak sihat semasa musim sejuk.

Jawatankuasa itu akan menyerahkan hasil kajiannya dalam tempoh tiga bulan, kata negeri itu.

Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan dasar yang mewajibkan pemilik kereta dan basikal di negeri itu mempunyai kawasan parkir diperakui.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI