MANILA, 29 Januari- Filipina dan New Zealand memulakan rundingan yang membolehkan tentera kedua-dua negara mengawasi kawasan maritim berikutan kebimbangan dan ketegangan dengan China semakin meningkat.
Manila berusaha meningkatkan hubungan pertahanan di rantau Asia-Pasifik dalam menghadapi persaingan dengan China yang menuntut Laut China Selatan.
Menurut satu kenyataan bersama, rundingan pusingan pertama diadakan antara jabatan pertahanan Filipina dan New Zealand pada Khamis di Manila.
"Pusingan pertama rundingan menandakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Filipina dan New Zealand," menurut kenyataan itu.
Sementara itu Perjanjian Pasukan Pelawat menyediakan rangka kerja undang-undang bagi kedua-dua negara "untuk meningkatkan aktiviti dan menjalankan latihan di wilayah masing-masing selain memperdalam kerjasama pertahanan dan ketenteraan keseluruhan," tambahnya.
Duta New Zealand ke Filipina Catherine McIntosh menghadiri mesyuarat Manila, manakala ahli delegasi Wellington yang lain mengambil bahagian secara maya.
Wakil Filipina terdiri daripada pegawai dari jabatan pertahanan, keadilan dan hal ehwal luar negeri, serta Suruhanjaya Presiden mengenai Pasukan Pelawat.
Bulan lalu, Senat Filipina mengesahkan perjanjian sama turut diadakan dengan Jepun Amerika Syarikat (AS) dan Australia, kini negara itu memulakan perbincangan dengan Perancis.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengetepikan tuntutan daripada beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina.
Namun keputusan antarabangsa menyatakan bahawa pendirian Beijing tidak mempunyai asas undang-undang.
Kawasan Laut China Selatan itu sering menimbulkan perselisihan berikutan ia menjadi laluan kapal Filipina dan China.- AFP