fb fb fb fb fb

India memperingati konflik Pakistan di sempadan Himalaya

Upacara menandakan ulang tahun ke-25 berakhirnya konflik, apabila tekanan diplomatik memaksa Pakistan berundur dari Kargil/ AFP

DRASS, 26 Julai- Askar India dan pemimpin tertinggi negara itu berkumpul di kaki bukit Himalaya bagi memperingati Perang Kargil yang berakhir 25 tahun lalu.

Perang Kargil pada tahun 1999 menyaksikan India mengalahkan musuh ketatnya Pakistan.

Ia adalah pertempuran besar yang terakhir antara dua negara nuklear sejak berpecah dan bebas daripada penjajahan British.

Perdana Menteri, Narendra Modi, meletakkan kalungan bunga ke atas pusara tentera India yang gugur.

"Masa berubah, musim berubah, tetapi nama mereka yang memberikan nyawa untuk negara hidup selama-lamanya," katanya.

Konfrontasi altitud tinggi itu bermula apabila militan yang disokong Pakistan memasuki ke wilayah India di Kargil, sebuah pos terpencil di sempadan kedua-dua negara.

Sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh dalam tempoh 10 minggu berikutnya, namun konflik itu berakhir tanpa perubahan pada status quo di sepanjang sempadan.

Pakistan menarik diri selepas menerima tekanan teruk dari Washington yang bimbang dengan laporan risikan bahawa Islamabad mengerahkan sebahagian daripada senjata nuklearnya.

Perdana Menteri semasa itu Nawaz Sharif menyalahkan ketua tenteranya, Pervez Musharaf kerana mencetuskan konflik tanpa pengetahuan atau persetujuannya.

Beberapa bulan berikutnya, Musharaf menggulingkan Sharif dalam satu rampasan kuasa.

India dan Pakistan terbabit dalam tiga peperangan besar dan konflik sempadan yang tidak terkira selepas dipisahkan dari benua kecil India pada tahun 1947.

Kedua-dua negara terus bertelagah mengenai kawalan wilayah bergolak Kashmir yang dibahagikan antara kedua-dua negara dan dituntut sepenuhnya oleh kedua-duanya.

Kargil dianggap sebagai salah satu kemenangan terbesar tentera India ke atas musuhnya.

Ketua Tentera India ketika berlaku konflik, Jeneral Ved Prakash Malik berkata, India lebih kuat dari segi ekonomi, ketenteraan dan teknologi.

"Mereka perlu menyedari perbezaan mengenai cara mereka diperintah oleh tentera dan cara kita diperintah sebagai sebuah negara demokrasi.

Ditanya mengenai kemungkinan konflik yang serupa dengan konfrontasi Kargil pada masa depan, Malik berkata, Pakistan tidak akan berani mencubanya lagi. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI