fb fb fb fb fb

India dijangka atasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia

INDIA, 22 April- India dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia menjelang pertengahan tahun ini.

Menurut Laporan Penduduk Dunia Dana Penduduk PBB (UNFPA) yang dikeluarkan pada Rabu, unjuran data menunjukkan India akan mempunyai populasi 1.4286 bilion menjelang pertengahan tahun ini, manakala China dengan 1.4257 bilion penduduk.

Berdasarkan laporan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) yang memetik analisis oleh New York Times, India dijangka berhadapan pelbagai cabaran yang menghalang prospek pertumbuhan ekonominya susulan populasi penduduk yang tinggi.

Salah satu cabaran utama ialah kadar pertumbuhan pekerjaan yang mungkin tidak dapat menampung populasinya yang semakin meningkat.

(Unjuran populasi penduduk dunia oleh CGTN / Foto REUTERS)

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri China memberi maklum balas susulan kebimbangan bahawa negara tembok besar itu dijangka kehilangan dividen demografinya selepas diatasi oleh India.

"Walaupun dividen demografi sesebuah negara bergantung kepada kuantiti penduduk, kualiti penduduk adalah lebih penting.

Saiz tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah lebih penting daripada saiz populasi," menurut kementerian itu.

Tinjauan pendapat dalam talian yang dijalankan oleh CGTN juga menunjukkan bahawa 88.4 peratus responden percaya sumber manusia China mencukupi untuk menyokong pembangunan ekonomi berkualiti tinggi.

Menurut tinjauan pendapat itu, 91.8 peratus responden optimis bahawa 'dividen bakat' akan memberikan dorongan kuat untuk peningkatan berterusan kekuatan nasional China yang komprehensif.

China mempunyai penduduk paling ramai di dunia sejak 1950, iaitu tahun data penduduk PBB mula diambil.-REUTERS

Media Baharu