fb fb fb fb fb

Imran Khan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun

(Pakistan Imran Khan (tengah) hadir di Mahkamah Agung di Islamabad pada
24 Julai 2023/File AFP)

LAHORE, 5 Ogos- Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditahan di rumahnya di sini hari ini, selepas mahkamah di Islamabad mendapati beliau bersalah melakukan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Bekas bintang kriket antarabangsa itu telah menghadapi pelbagai kes mahkamah atas tuduhan yang dikatakannya bermotifkan politik sejak digulingkan dalam undi tidak percaya tahun lalu.

Beliau tidak hadir ketika dia dijatuhi hukuman hari ini.

"Hakim Humayun Dilawar mengumumkan bahawa penglibatan dalam kegiatan rasuah telah dibuktikan," lapor Pakistan TV.

Tidak lama selepas keputusan itu, polis memasuki rumahnya di Lahore dan menangkapnya.

"Saya baru sahaja menerima maklumat bahawa Imran Khan telah ditangkap," kata Attaullah Tarar, Pembantu Khas Perdana Menteri Shehbaz Sharif, kepada pemberita.

Pada Mei, Imran ditangkap dan ditahan sebentar atas tuduhan rasuah di Islamabad, mencetuskan pergolakan maut yang menyaksikan penyokong parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinannya turun ke jalanan dan bertempur dengan polis.

Kes yang membawa kepada penahanannya hari ini tertumpu pada hadiah yang diterimanya dan tidak diisytiharkan dengan betul semasa menjadi perdana menteri.

Pasukan undang-undang Imran berkata mereka akan memfailkan rayuan segera.

"Adalah penting untuk menyebut bahawa tiada peluang diberikan untuk mengemukakan saksi, dan masa juga tidak diperuntukkan bagi menggulung hujah," kata seorang ahli pasukan itu. -AFP

(FOTO REUTERS)

Media Baharu