fb fb fb fb fb

IMF lulus bantuan AS$2.9 bilion untuk Sri Lanka

(Foto AFP)

COLOMBO, 21 Mac- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan bantuan AS$2.9 bilion untuk Sri Lanka.

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe menerusi satu kenyataan berkata bahawa dana tersebut untuk mengurangkan krisis ekonomi sekali gus mambantu menyelamatkan negara pulau itu.

Lembaga IMF juga mengesahkan ia telah menandatangani pinjaman itu, yang membuka jalan bagi pengeluaran dana dan memulakan program empat tahun yang direka untuk memajukan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva memberi amaran bahawa Colombo mesti meneruskan pembaharuan cukai dan jaringan keselamatan sosial yang lebih besar untuk golongan miskin dan mengekang aktiviti rasuah yang menyumbang kepada berlakunya krisis tersebut.

"Saya merakamkan penghargaan kepada IMF dan rakan kongsi antarabangsa kami atas sokongan mereka kerana kami ingin memulihkan ekonomi ke landasan untuk jangka panjang melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan agenda reformasi kami yang bercita-cita tinggi," kata Presiden Ranil Wickremesinghe dalam satu kenyataan.


(Sebuah pasar di Colombo/AFP)

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya pada April 2022 ketika negara itu mengalami kemelesetan ekonomi terburuk sejak merdeka kerana kekurangan rizab mata wang asing yang besar.

Bantahan berleluasa berhubung salah urus ekonomi, kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk dan inflasi yang berterusan memaksa presiden Gotabaya Rajapaksa meninggalkan negara itu dan meletakkan jawatan pada Julai lalu.

Rajapaksa digantikan oleh Wickremesinghe sebagai presiden. Beliau telah melaksanakan pemotongan perbelanjaan dan kenaikan cukai dalam usaha untuk mendapatkan bantuan IMF.

Beliau berikrar mahu mengembalikan ekonomi yang stabil melalui pengurusan fiskal berhemat dan agenda reformasi jangka panjang.-AFP


Media Baharu