fb fb fb fb fb

Bunuh XXXTentacion, tiga lelaki berdepan penjara seumur hidup

(XXXTentacion)

MIAMI, 31 Mac- Tiga lelaki bakal berdepan penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh penyanyi rap XXXTentacion lima tahun lalu.

Juri Florida pada Isnin mendapati kesemua lelaki muda itu bersalah dalam menembak mati bintang rap yang sedang meningkat naik dikenali sebagai XXXTentacion pada 2018.

Artis rap itu yang nama sebenarnya Jahseh Onfroy, berusia 20 tahun ketika dia ditembak mati pada siang hari di Deerfield Beach, dekat Miami.

XXXTentacion telah mencapai nombor satu carta album pada tahun 2018 dengan lagu "?" tetapi kejayaannya turut terpalit dengan kontroversi kerana sejarah keganasannya.

Dia ketika itu telah menunggu perbicaraan atas tuduhan memukul bekas teman wanitanya yang sedang hamil.

Selepas seminggu berbincang, juri di Fort Lauderdale mendapati tiga defendan bersalah atas pembunuhan peringkat pertama dan rompakan bersenjata.

Mereka ialah Dedrick Williams, 26; Trayvon Newsome, 24; dan Michael Boatwright, 28.

Hukuman pula akan ditetapkan pada 6 April. Sabitan pembunuhan peringkat pertama boleh menyebabkan mereka dipenjarakan seumur hidup.

Pada 18 Jun 2018, sebuah kenderaan pacuan empat roda memotong kereta XXXTentacion dan dua orang keluar dan menembaknya. Mereka mencuri beg berisi wang tunai AS$50,000 dan melarikan diri.

Pendakwa raya berkata bahawa Boatwright dan Newsome yang keluar dari kereta, tetapi Boatwright yang menembak penyanyi rap itu. Williams dituduh sebagai pemandu dan dalang dalam serangan tersebut.

Manakala suspek keempat, Robert Allen, 26, memberi keterangan mengenai tiga rakan subahatnya, tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pembunuhan tahap dua dan rompakan bersenjata.-AFP


(Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup ketika kejadian

rompakan dan bunuh artis rap XXXTentacion)

Media Baharu