fb fb fb fb fb

IMF lulus AS$880 juta untuk Ukraine

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva/AFP

WASHINGTON, 22 Mac- Lembaga Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan mengagihkan AS$880 juta kepada Ukraine menerusi fasa ketiga pakej bantuan AS$15.6 bilion untuk menyokong ekonomi negara yang dilanda perang.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva dalam satu kenyataan.

"Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terus memberi kesan kepada kos sosial dan ekonomi yang besar kepada Ukraine," katanya.

"Bagaimanapun, kestabilan makroekonomi dan kewangan telah dipelihara, mencerminkan penggubalan dasar yang mahir oleh pihak berkuasa Ukraine serta sokongan luar yang besar," tambahnya.

Kelulusan lembaga itu dibuat kira-kira sebulan selepas lawatan kakitangan IMF ke Ukraine yang mendapati bahawa pihak berkuasa telah memenuhi pelbagai kriteria yang diperlukan untuk mengeluarkan wang tersebut, selain daripada "kehilangan kecil" pada hasil cukai akibat sekatan sempadan.

Lebih dua tahun sejak pencerobohan Rusia bermula, Ukraine masih menghadapi pengeboman udara hampir setiap hari di bandar-bandar utamanya, termasuk ibu kota Kiev, manakala serangan darat yang berterusan di timur negara itu.

"Ekonomi Ukraine terbukti lebih berdaya tahan daripada jangkaan pada 2023, dengan hasil pertumbuhan yang teguh" kata IMF.

"Bagaimanapun, pada 2024, dengan pertumbuhan dijangka berkurangan kepada 3 hingga 4 peratus disebabkan ketidaktentuan perang yang sedang berlaku dan apabila kekangan bekalan semakin mengikat," tambahnya.

IMF baru-baru ini menganggarkan kos pembinaan semula selepas perang hampir AS$490 bilion.-AFP

ROSLINA BINTI DIN