fb fb fb fb fb

IMF beri pinjaman baru AS$941 juta kepada Kenya

FOTO HIASAN

NAIROBI, 18 Januari- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyalurkan pinjaman baharu kepada Kenya sejumlah lebih AS$941 juta bagi menyokong kewangan negara Afrika Timur itu yang kekurangan dana.

Ketika ini, Kenya sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi termasuk hutang besar, krisis kos sara hidup dan kejatuhan mata wang.

IMF memaklumkan lembaga eksekutifnya telah meluluskan pinjaman AS$941.2 juta dengan pengeluaran segera sebanyak $624.5 juta.

Jumlah pembayaran bawah pelbagai kemudahan kredit berjumlah kira-kira AS$2.6 bilion, tambahnya dalam kenyataan semalam.

Agensi berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat itu meramalkan pertumbuhan ekonomi Kenya sekitar lima peratus tahun ini, daripada anggaran 5.1 peratus pada 2023.

"Pertumbuhan Kenya kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran luar dan dalam negeri yang semakin meningkat," kata Antoinette Sayeh, Timbalan Pengarah Urusan dan Pemangku Pengerusi IMF, dalam kenyataan tersebut.

Menurut data perbendaharaan yang dikeluarkan bulan ini, hutang awam Kenya adalah berjumlah 10.585 trilion syiling (AS$65.5 bilion).

Pada Disember lalu, Kenya memungkiri janji untuk membeli balik sebahagian daripada AS$2 bilion Eurobond yang akan matang pada Jun nanti.

Sebaliknya, Menteri Kewangan, Njuguna Ndung'u berkata, negara itu telah membayar faedah AS$68.7 juta ke atas bon berkenaan, sekali gus mengetepikan dakwaan gagal bayar.

Inflasi juga dilapor berjalan tinggi iaitu 6.6 peratus pada Disember lepas, dan IMF berkata, ia berkemungkinan meningkat lagi pada separuh pertama tahun ini.

Syiling Kenya turut didagangkan pada paras terendah sepanjang masa sekitar 160 berbanding dolar. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA