fb fb fb fb fb

Pakistan serang 'tempat persembunyian militan' di Iran

Anggota polis Pakistan berkawal di luar bangunan Kementerian Luar di Islamabad hari ini/AFP

ISLAMABAD, 18 Januari- Pakistan melancarkan serangan terhadap sasaran militan di Iran susulan daripada serangan Iran di Pakistan, awal minggu ini.

Agensi berita IRNA melaporkan seramai sembilan orang terbunuh akibat serangan yang dilakukan oleh Pakistan di wilayah Sistan-Baluchistan.

"Tiga wanita dan empat kanak-kanak antara yang terbunuh," lapor agensi berita rasmi Iran itu.

Ia berlaku selepas dua hari Iran melakukan serangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai sasaran militan di negara jiran Pakistan, membunuh sekurang-kurangnya dua kanak-kanak.

Kementerian Luar Pakistan memaklumkan serangan hari ini disasarkan secara khusus terhadap tempat persembunyian militan di Sistan-Baluchistan.

Dron dan roket digunakan dalam menyasarkan pergerakan pemisah Baluch.

Tentera Pakistan telah melancarkan perang selama beberapa dekad menentang kumpulan pemisah di wilayah sempadannya yang berpenduduk rendah.

Situasi terbaharu itu mencetuskan ketegangan bagi kedua-dua negara sehingga mendorong Tehran memanggil duta besarnya di Pakistan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA