fb fb fb fb fb

Imej pertama bintang luar galaksi bima sakti dirakam

Imej menunjukkan gambaran artistik bintang WOH G64, bintang pertama di luar galaksi kita yang dirakam secara dekat/AFP

PARIS, 22 November- Para saintis mengumumkan pada Khamis bahawa mereka telah berjaya merakam imej pertama bintang di luar galaksi bima sakti iaitu bintang WOH G64 yang terletak kira-kira 160,000 tahun cahaya dari bumi.

Bintang 'raksasa merah' itu yang lebih besar 2,000 kali ganda berbanding matahari terletak di awan magellan besar, galaksi satelit bima sakti.

Imej yang kabur itu dirakam menggunakan instrumen baru iaitu Teleskop Sangat Besar (VLT) milik European Southern Observatory (ESO) di Chile.

Keiichi Ohnaka, ahli astrofizik dari Universiti Andres Bello di Chile berkata, ini adalah kali pertama imej mendalam bintang yang sedang 'mati' (fasa akhir hayat sebelum meletus menjadi supernova) dirakam.

Imej tersebut menunjukkan bintang berwarna kuning yang terang namun kabur dikelilingi oleh sarung berbentuk telur.

Ohnaka menjelaskan penemuan itu mungkin berkait dengan pengeluaran bahan secara drastik daripada bintang yang akan meletus menjadi supernova.

Ohnaka dan pasukannya telah memantau bintang tersebut selama bertahun-tahun.

Pada 2005 dan 2007, mereka menggunakan interferometer VLT yang menggabungkan cahaya daripada dua teleskop untuk mempelajari lebih lanjut mengenai bintang tersebut.

Namun, ia hanya dapat dirakam dengan lebih jelas selepas instrumen GRAVITY yang menggabungkan cahaya daripada empat teleskop.

Kajian itu juga menunjukkan bintang tersebut telah menjadi lebih malap dalam sepuluh tahun terakhir, memberikan peluang langka (jarang-jarang berlaku) untuk menyaksikan perubahan dalam kehidupan sebuah bintang.

Para saintis percaya bahan yang dibuang oleh bintang itu mungkin menyebabkan ia semakin malap.

Penemuan terbabit memberi gambaran tentang fasa akhir kehidupan bintang 'raksasa merah' itu, yang mengeluarkan lapisan gas dan habuk sebelum meletus menjadi supernova.

Ahli astronomi turut mengandaikan kemungkinan wujudnya bintang lain yang tersembunyi dalam sarung tersebut yang belum ditemukan. -AFP

2211 BD CLOSEUP MILKY WAY 2
Imej menunjukkan bintang WOH G64 dirakam menggunakan instrumen GRAVITY pada teleskop VLTI ESO/AFP

SITI AISHAH MD ISA