(Khemah dan tempat perlindungan didirikan sementara di sebuah stadium di bandar Kahramanmaras
selepas gempa kuat pada 6 Februari 2023/Reuters)
TURKIYE, 9 Februari- Imej satelit pada Rabu memaparkan kemusnahan dahsyat di beberapa bandar di Turkiye yang dilanda gempa bumi kuat yang kini sudah meragut lebih 16,000 nyawa termasuk di Syria.
Satelit dari Maxar Technologies mendedahkan imej suasana sebelum dan selepas bandar Antakya, Osmaniye, Kahramanmaras, Adiyaman dan Gaziantep.
Runtuhan dan kerosakan bangunan jelas kelihatan di bandar-bandar berkenaan yang digegarkan dua kejadian gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.7 magnitud pada Isnin.
Salah satu imej satelit itu memaparkan kemusnahan di sebuah stadium di bandar Kahramanramas yang kini hanya dipenuhi khemah-khemah sementara bagi menempatkan mangsa gempa yang kehilangan tempat tinggal, manakala imej di bandar Antakya kelihatan asap di kawasan runtuhan bangunan.
Sementara itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat tiga bulan di tenggara negara itu, meliputi 10 bandar yang terjejas.
Erdogan dalam lawatan ke zon bencana pada Rabu memberi jaminan bahawa mangsa gempa akan diberi perlindungan dan tiada sesiapa pun akan kehilangan tempat tinggal. -REUTERS
(Imej satelit bangunan runtuh dan berasap selepas gempa bumi kuat
di bandar Antakya/Reuters)