YAPACANI, 21 Ogos- Seekor ikan lumba-lumba sungai berwarna merah jambu yang terdampar di tebing sungai di tengah Bolivia berjaya diselamatkan dan dilepaskan kembali ke habitat asal, baru-baru ini.
Menurut pihak berkuasa tempatan, haiwan itu ditemui oleh penduduk kampung dari Santa Fe di tebing Sungai Yapacani pada petang Isnin lepas.
Penduduk dan pihak berkuasa perbandaran San Carlos kemudian menjalankan operasi memindahkan ikan lumba-lumba itu ke perairan sungai lebih dalam, yang mana ia selamat dilepaskan pada hari sama.
Menerusi video yang dikongsi Reuters menunjukkan beberapa kesan kecederaan dilihat pada anggota badan haiwan berkenaan.
Ia juga dikenali sebagai 'bufeo' di Bolivia, dimaklumkan hanya sedikit infomasi diketahui tentang populasi dan habitat mereka, menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Perubahan iklim, penebangan hutan, pencemaran air dan kemajuan sektor pertanian menjadi antara ancaman terbesar kepada spesies terbabit. -Reuters