fb fb fb fb fb

ICJ: Keputusan kes Ukraine terhadap Rusia berkaitan MH17, minggu depan

Foto Reuters

THE HAGUE, 26 Januari - Mahkamah Dunia akan memberikan keputusan penghakiman pada Rabu dalam kes di mana Ukraine menuduh Rusia melanggar perjanjian antikeganasan dengan membiayai pasukan pro-Rusia, termasuk militan yang menembak jatuh sebuah jet penumpang.

Menerusi kes yang di hadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang bermula pada 2017 dan sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Kiev berkata Rusia melengkapkan dan membiayai tentera pro-Rusia di timur Ukraine, termasuk militan yang terlibat dalam menembak jatuh Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines dan membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, pada Julai 2014.

Ukraine juga mengatakan Rusia melanggar perjanjian antidiskriminasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dengan cuba memadamkan budaya etnik Tatar dan Ukraine di Crimea, yang telah diambil alih Rusia dari Ukraine pada 2014.

Rusia menafikan pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik di wilayah Ukraine yang didudukinya. Ia juga mengatakan bahawa ia telah memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian PBB terhadap pembiayaan keganasan.

Penghakiman ICJ yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, adalah muktamad dan tanpa rayuan, namun mahkamah tidak mempunyai cara untuk melaksanakan keputusannya.

Terdapat kes berasingan Ukraine berbanding Rusia di ICJ,yang menangani dakwaan pelanggaran oleh Moscow terhadap Konvensyen Genosid 1948.

Kes itu sedang menunggu keputusan mengenai cabaran kepada bidang kuasa mahkamah oleh Rusia sebelum ia boleh dibawa ke hadapan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN