fb fb fb fb fb

Ibu muda dan bayinya antara enam maut dalam tragedi tembakan California

(FOTO HIASAN)

WASHINGTON, 17 Januari- Seorang bayi berusia enam bulan dan ibunya antara enam terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah rumah di California pada Isnin.

Syerif Mike Boudreaux dari Pejabat Syerif Daerah Tulare menyifatkan tragedi tersebut adalah sangat mengerikan, dan ia dipercayai telah dirancang kemungkinan dikaitkan dengan keganasan kumpulan gengster dan dadah.

Polis berkata mereka percaya dua orang suspek menyerang rumah itu sekitar 3:30 pagi Isnin dengan melepaskan beberapa das tembakan.

Seorang jiran menghubungi polis, yang tiba tujuh minit kemudian dan menemukan mayat serta mangsa yang cedera parah berada di dalam dan di luar rumah tersebut.

"Keseluruhan keadaan ini adalah tragis, kami menemukan seorang ibu berusia 17 tahun dan anaknya berusia enam bulan yang kedua-duanya ditembak di kepala," kata Boudreaux.

Dua orang terselamat daripada serangan itu dengan bersembunyi di dalam rumah, manakala beberapa yang cedera diberi rawatan perubatan kecemasan oleh paramedik.

Seorang daripada yang cedera meninggal dunia sejurus selepas dikejarkan ke hospital.

"Kami juga percaya bahawa ini bukan satu tindakan keganasan yang rambang. Kami percaya bahawa ini adalah keluarga yang menjadi sasaran," kata sherif Mike Boudreaux.

"Kami percaya terdapat kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam kejadian ini serta dan kami turut menjalankan penyiasatan narkotik," sambil menambah bahawa seminggu sebelum itu jabatannya telah menjalankan waran geledah narkotik di kediaman tersebut.

Tulare ialah sebuah bandar dengan kira-kira 70,000 penduduk di Lembah San Joaquin, kira-kira separuh jalan antara San Francisco dan Los Angeles.

Kira-kira 49,000 orang mati akibat tembakan pada 2021 di Amerika Syarikat, lebih separuh daripadanya adalah bunuh diri.

Menurut kajian, negara Uncle Sam mempunyai lebih banyak senjata berbanding manusia: satu daripada tiga orang dewasa memiliki sekurang-kurangnya satu senjata dan hampir satu daripada dua orang dewasa tinggal di rumah yang mempunyai senjata. -AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu