BUDAPEST, 29 April- Hungary pada Selasa telah meluluskan undang-undang yang mengecualikan wanita yang mempunyai dua atau tiga anak daripada membayar cukai pendapatan, sebagai sebahagian daripada usaha agresif untuk membendung penurunan kadar kelahiran negara itu.
Kerajaan nasionalis pimpinan Perdana Menteri Viktor Orban sejak 2010 telah melaksanakan pelbagai insentif untuk meningkatkan kadar kelahiran, termasuk pinjaman bersubsidi, bantuan perumahan kepada keluarga, dan pengecualian cukai bagi wanita yang mempunyai empat anak atau lebih.
Bawah undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen, ibu kepada dua anak yang berumur bawah 40 tahun akan mendapat pengecualian cukai pendapatan sepanjang hayat bermula tahun depan. Faedah ini akan diluaskan secara berperingkat kepada semua wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya dua anak menjelang tahun 2029.
Sementara itu, golongan ibu kepada tiga anak akan mula dikecualikan cukai pendapatan bermula Oktober tahun ini.
Orban menyifatkan langkah tersebut sebagai “program pengurangan cukai terbesar di Eropah”, dan mahu menjadikan Hungary sebagai “syurga cukai untuk keluarga”, meskipun beliau mengakui ia menimbulkan cabaran kewangan yang besar.
Pakar ekonomi pula memberi amaran bahawa inisiatif ini akan memberi tekanan besar terhadap bajet negara. Malah kerajaan sendiri menganggarkan langkah ini akan menelan belanja sebanyak €2.38 bilion menjelang 2029.
Pengkritik mendakwa langkah ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan populis menjelang pilihan raya umum tahun depan di negara yang mempunyai penduduk seramai 9.5 juta orang itu.
Kadar kesuburan Hungary telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepada 1.31 kelahiran bagi setiap wanita pada Mac lalu lebih rendah daripada paras 1.61 pada 2021, yang ketika itu melebihi purata EU sebanyak 1.53.
Sasaran kerajaan ialah untuk mencapai kadar kesuburan 2.1 menjelang 2035 angka yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan populasi.
Untuk rekod, kadar kelahiran Hungary pernah jatuh ke paras terendah pada 2011 iaitu 1.23.-AFP