PHNOM PENH, 26 Julai -Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengumumkan peletakan jawatan pada Rabu selepas empat dekad menerajui kepimpinan negara itu sejak 1985.
Menurut Hun Sen, dia bakal menyerahkan kuasa kepada anak lelakinya.
"Saya ingin meminta pemahaman daripada rakyat bahawa saya tidak akan meneruskan sebagai perdana menteri," kata lelaki berusia 70 tahun itu dalam siaran khas di televisyen negara.
Tambah Hun Sen, Hun Manet, seorang jeneral berusia 45 tahun, akan mengambil alih jawatan perdana menteri di ketua kerajaan baharu pada 22 Ogos depan.
“Saya meminta orang ramai menyokong Hun Manet yang akan menjadi perdana menteri baharu,” katanya.
Bekas anggota tentera Khemer Rouge berusia 70 tahun itu menghapuskan tentangan terhadap pemerintahannya dengan mengharamkan parti-parti pembangkang dan menyekat kebebasan bersuara.
Kemenangan tersebut membuka jalan kepada Hun Sen bagi meneruskan penggantian dinasti kepada anak sulungnya yang disifatkan oleh para pengkritik menyerupai pemerintahan Korea Utara.
Pada pilihan raya Ahad lalu, Parti pimpinan Hun Sen, Parti Rakyat Kemboja (CPP) berjaya memenangi pilihan raya negara itu Ahad lalu dengan 82 peratus undi tanpa saingan daripada pembangkang.
Sebelum ini, kerajaan Kemboja memuji peratusan keluar mengundi sebanyak 84.6 peratus yang disifatkan sebagai bukti kematangan demokrasi negara itu tetapi kuasa Barat termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengecam tinjauan itu sebagai tidak bebas dan tidak adil.-AFP
(Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen umum peletakan jawatan dalam siaran
langsung/FOTO AFP)