fb fb fb fb fb

Hujan paling lebat landa Hong Kong dalam tempoh 140 tahun

HONG KONG, 8 September- Hong Kong menerima hujan paling lebat dalam tempoh hampir 140 tahun menyebabkan jalan raya dan beberapa stesen kereta api bawah tanah ditenggelami air selain memaksa sekolah ditutup.

Menurut pakar, perubahan iklim meningkatkan ribut tropika menyebabkan lebih banyak penerimaan hujan dan tiupan angin kencang yang boleh membawa kepada banjir kilat dan kerosakan pantai.

Balai cerap cuaca di Hong Kong merekodkan hujan sejam sebelum tengah malam mencatatkan sebanyak 158.1 milimeter. Ia angka tertinggi menurut rekod yang dicatakan pada 1884.

Pihak Berkuasa Hospital berkata sekurang-kurangnya 110 orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan manakala empat orang berada dalam keadaan serius.

Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan tidak sedarkan diri di pantai barat Pulau Hong Kong, bagaimanapun pihak berkuasa masih menyiasat berkenaan kematian tersebut.

Paras amaran ribut hujan tertinggi di bandar itu dinaikkan. Ia memecahkan rekod 16 jam sebelum diturunkan pada pukul 3.40 petang Jumaat. Hujan mula reda menjelang lewat petang.

"Ia benar-benar mengejutkan," kata Jacky, 52, tinggal di daerah Wong Tai Sin bersama ibu bapanya yang sudah tua. "Saya fikir banjir tidak akan seteruk ini di daerah kita."

"Tingkat bawah pusat membeli-belah dipenuhi air, paras air lebih tinggi daripada kedai-kedai... ia menyukarkan hari kami," tambahnya.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kilat manakala perkhidmatan kecemasan menjalankan operasi menyelamat di bahagian wilayah itu.

Balai cerapan memberi amaran kepada "penduduk tinggal berdekatan dengan sungai harus berwaspada dengan keadaan cuaca dan harus mempertimbangkan pemindahan" sekiranya rumah mereka dinaiki air.

Ia juga memberi amaran potensi tanah runtuh dan menasihatkan semua pemandu untuk "menjauhi cerun curam atau tembok penahan".

Bursa saham Hong Kong turut membatalkan semua sesi dagangan hari ini.- AFP

(Pasukan Bomba membersihkan jalan di Hong Kong/AFP)

 

Media Baharu