fb fb fb fb fb

Hujan lebat cetus tanah runtuh di Nepal, 11 maut, 8 hilang

Seorang wanita membawa barang-barang mengharungi jalan yang dinaiki air di sepanjang tebing Sungai Bagmati berikutan hujan lebat di Kathmandu, Nepal/ REUTERS

KATHMANDU, 7 Julai- Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 individu dalam tempoh 36 jam di Nepal dan menyekat lebuh raya serta jalan utama, kata pegawai pada Ahad.

Sementara itu, lapan individu lagi hilang mereka dikhuatiri dihanyutkan banjir atau tertimbus dalam tanah runtuh, manakala 12 lagi cedera dan dirawat di hospital, kata jurucakap polis Dan Bahadur Karki.

"Pekerja penyelamat cuba membersihkan tanah runtuh dan membuka jalan raya," kata Karki kepada Reuters.

Sungai Koshi di tenggara Nepal menyebabkan banjir dahsyat di negeri Bihar di timur India hampir setiap tahun. Ia mengalir melebihi paras bahaya, kata seorang pegawai daerah.

"Aliran Koshi semakin meningkat dan kami telah meminta penduduk untuk terus berwaspada tentang kemungkinan banjir," kata Pegawai Kanan Daerah Sunsari Bed Raj Phuyal.

Beliau berkata pada pukul 9.00 pagi waktu tempatan aliran di Sungai Koshi ialah 369,000 cusecs sesaat, lebih daripada dua kali ganda aliran normal iaitu 150,000 cusecs.

Cusec ialah ukuran aliran air dan satu cusec adalah sama dengan satu kaki padu sesaat.

Pihak berkuasa berkata, kesemua 56 pintu air di Koshi Barrage telah dibuka untuk mengalirkan air berbanding kira-kira 10-12 pintu ketika keadaan biasa.

Pihak berkuasa berkata aliran sungai Narayani, Rapti dan Mahakali di barat juga menunjukkan peningkatan.

Di Kathmandu yang dikelilingi bukit, beberapa sungai telah melimpahi tebingnya, membanjiri jalan raya dan menenggelamkan banyak rumah.

Media tempatan menunjukkan orang ramai mengharungi air separas pinggang dan penduduk menggunakan baldi untuk mengosongkan rumah mereka.

Sekurang-kurangnya 50 individu di seluruh Nepal maut dalam tanah runtuh, banjir dan kilat sejak pertengahan Jun apabila hujan monsun tahunan bermula.

Beratus-ratus individu mati setiap tahun dalam tanah runtuh dan banjir kilat yang biasa berlaku di Nepal semasa musim tengkujuh yang biasanya bermula pada pertengahan Jun dan berterusan hingga pertengahan September.

Di negeri Assam di timur laut India, banjir telah membunuh berpuluh-puluh individu dan menyebabkan beribu-ribu yang lain kehilangan tempat tinggal sejak beberapa hari lalu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI