fb fb fb fb fb

Hujan lebat cetus banjir kilat di Los Angeles

Arahan berpindah dikeluarkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan cerun kaki bukit dan gaung/ Foto REUTERS

CALIFORNIA, 25 Disember - Hujan lebat melanda California Selatan pada Rabu, mencetuskan banjir kilat di sebahagian besar daerah Los Angeles.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan arahan berpindah kepada penduduk di Altadena, pinggir Los Angeles yang tinggal di kawasan cerun kaki bukit dan gaung.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), hujan lebat berterusan dan ribut dijangka melanda pada malam Krismas hingga Jumaat.

Keadaan itu berbahaya kepada pemandu yang melakukan perjalanan pada musim cuti yang sibuk.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan, kecuali jika ingin melarikan diri dari kawasan yang terdedah kepada banjir atau berada bawah perintah pemindahan," menurut kenyataan NWS.

Arahan pemindahan itu melibatkan penduduk yang mendiami kira-kira 130 buah rumah yang dianggap sangat terdedah kepada tanah runtuh dan kebakaran hutan tahun lalu.

Hujan lebat pada Rabu turut disertai angin kencang yang berisiko menyebabkan pokok dan talian elektrik tumbang, manakala di kawasan tanah tinggi Pergunungan Sierra, ribut dijangka membawa salji tebal.

Media tempatan melaporkan banyak kejadian runtuhan batu di kawasan pergunungan dengan jangkaan hujan lebat melebihi 30.48 sentimeter melanda beberapa kawasan pergunungan bertanah rendah menjelang hujung minggu.

Agensi cuaca turut mengeluarkan amaran puting beliung di beberapa kawasan di Los Angeles. -REUTERS

 

MASNIZA AWANG KECHIK