fb fb fb fb fb

Hujan lebat berterusan, 13 maut akibat tanah runtuh di El Salvador dan Guatemala

Jentera berat digunakan petugas kecemasan di tempat kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat

SAN SALVADOR, 18 Jun- 13 orang maut dalam banjir dan tanah runtuh di El Salvador dan Guatemala ketika hujan lebat melanda Amerika Tengah.

Di El Salvador, negara paling teruk dilanda bencana itu setakat ini, lima orang maut pada Isnin dalam kejadian tanah runtuh di daerah barat Tacuba, di jabatan Ahuachapan, kata ketua pertahanan Awam Luis Amaya.

Terdahulu, dua kematian direkodkan pada Ahad selepas sebatang pokok dan tiang tumbang di atas sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan di lebuh raya.

Empat lagi orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh antara Jumaat dan Ahad, tambah Amaya.

Pada Ahad, Kongres meluluskan darurat untuk memudahkan penyaluran bantuan.

Presiden Nayib Bukele menerusi satu hantaran di X bahawa dia telah meminta Kongres menjadikan hari Selasa sebagai cuti persekutuan untuk mengelakkan perjalanan ulang-alik dan mengurangkan risiko tragedi.

Hujan melanda kedua-dua negara sejak Sabtu.

Di Guatemala, seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki berusia 68 tahun meninggal dunia pada Ahad di perkampungan Chacaya, dalam perbandaran barat Sacapulas, apabila mereka tertimbus oleh tembok yang runtuh, kata pihak berkuasa.

Berpuluh-puluh hingga ratusan mati setiap tahun di Amerika Tengah kerana musim hujan menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur negara.

Selain itu, angka kematian akibat tanah runtuh di Ecuador meningkat daripada enam kepada tujuh orang, dengan 22 yang lain cedera, kata pihak berkuasa.

Tanah runtuh itu dicetuskan oleh hujan lebat di wilayah pelancongan Tungurahua di selatan Ecuador.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE