fb fb fb fb fb

COVID-19: Russia catat rekod jangkitan tertinggi

FOTO: AFP

MOSCOW, 22 Januari- Russia hari ini mencatatkan rekod tertinggi kes jangkitan COVID-19 di negara itu susulan penyebaran varian Omicron.

Mengikut data yang dimuat naik di portal mengenai jangkitan wabak itu, Russia dilapor merekodkan 57,212 kes harian baharu, berbanding 49,513 kes direkodkan kelmarin.

Berikutan perintah berkurung ketat tetapi singkat pada permulaan pandemik, Russia tidak meneruskan pendekatan itu atas alasan mahu melindungi kesukaran ekonomi.

Pada minggu lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran negara itu perlu bersedia terhadap lonjakan kes jangkitan Omicron dengan menggesa lebih banyak ujian saringan serta pelalian dilakukan.

Di Moscow yang menjadi pusat wabak di Russia, ibu negara itu merekodkan 16,094 kes baharu.

Meskipun beberapa vaksin dibangunkan di Russia dan diagihkan untuk beberapa bulan, namun hanya kira-kira separuh penduduk negara itu lengkap divaksinasi kerana ragu-ragu terhadap pelalian itu.

Sebelum ini, Putin berkata, vaksin Sputnik V yang dihasilkan negara itu lebih berkesan, berbanding vaksin dibangunkan negara barat.

Berdasarkan data kerajaan Russia, terdapat 325,433 kematian akibat COVID-19 sejak pandemik membadai negara itu, sekali gus menjadikan ia paling tertinggi di Eropah.

Bagaimanapun, angka itu didakwa bercanggah dengan data dikumpul agensi perangkaan negeri Rosstat yang mendakwa mungkin kes maut akibat COVID-19 di negara itu dua kali ganda.

Secara globalnya, Russia negara keempat tertinggi dunia yang merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19, berdasarkan data dikumpul AFP selepas Amerika Syarikat (AS), Brazil dan India. -AFP

Media Baharu